Khamis, 27 Jun 2013

Simfoni

Yang terlintas di benak fikirku, kutinta nukilan pena di atas tiga lima, bancuhan simfoni tiada yang dirangkum satu warna, curahan alam semesta walau sekecil zarah pico, atau sebesar gigatera, adanya disini, atas nama simfoni.

Pagi dingin di Yayara

Suatu pagi di Yayara, tiada siapa mengerti,atau ingin fahami, mufakat, santun walau tiada terbela, walau baru dipijak kepala, tiada hilang tata norma, bandaraya roboh hanya tinggal sisa, hidup masih bahagia, akan sampai juga aku ke 'stone', 'maquiti' negara bekas sang anjing kolonial, salam Mozambique.

Yang tertinggal kerna obsesi

Taksub kau kearah impian,kau sungguh tabah, kau tampak lelah,namun kau dihormati, tampak jelas akan kau gapai impian dalam persona obsesi dirimu, akan tersedar akan kau di akhir hari, yang tertinggal, yang kau lepaskan semata-mata kerna menuju kejayaan batilmu,dan baru kau sedari yang dilepas dari genggamanmu, kejayaan suci yang sebenarnya.

Sempurna

Sempurna, ku damba yang sempurna, namun sempurnakah aku, semua damba sang sempurna, namun tahukah mereka sempurna itu apa, aku tidak tahu, kerana tiada yang sempurna dalam dunia kerana sempurna milik zat-Nya, jika mereka sudah sempurna, mereka tidak perlukan kita, jika engkau sempurna, tidak perlulah sesiapa dan apa-apa, kau, aku juga mereka tiada yang sempurna, hatta tiada perlu akan itu.

Siapa?

Ramai berkata, ramai bertanya siapa aku sebenarnya, tiadaku kenali siapa diriku, dulunya megah tinggi, kehormat sang emas, itukah aku?, kini fakir, hampa kayap, jatuh sang gagal, siapa aku sebenarnya, tiadaku tahu, ya mungkin kau adalah aku, atau pandang cermin dan tanyakan aku ini engkaukah?, tanya engkau kepada aku

Sampah Sifar

Bijak ilustrasi, idea gumpalan ilmu, cantingan pena, masih mengorek sisa tasik otak yang semakin dangkal nan dengkek, aku sudah tiada apa, abstrakku sudah tiada serumit dahulu, curahan nukil yang anugerah sudah tertinggal, yang kutera kini hanya hampas, tiada inti, tiada santannya.